Salam sayang kalian,
Kalian, kenapa harus bermasam muka? Bersengketa, berburuk sangka sehingga putus silaturrahim sedangkan hidup ini lebih indah di nikmati tanpa semua itu. Kenapa harus mengagungkan perasaan yang cuma mainan si syaitan, yang tersangat mahu anak-anak Adam berpecah belah.
Ingatlah kalian semua hidup kita cuma seketika, tidak berbaloi di bazirkan sebegitu. Tidak berbaloi meletakkan sekelumit rasa benci mahupun ego dalam hati kerana satu saat nanti rasa itu hanya memakan diri sendiri, bukan musuh kalian mahupun sesiapa.
Sebagai contoh, pergaduhan dalam keluarga. Sesama adik beradik atau mak dan menantu misalnya. Semasa hayat kalian muda darah tengah panas kalian berasa kalianlah yang betul, ego melepaskan kemarahan. Emosi mengatasi segalanya sehingga putusnya ikatan silaturrahim.
Satu saat nanti apabila hayat kalian semakin hampir ke penghujung, kesunyian mula terbit dihati, keseorangan, syahdu mengenangkan nasib diri dan pasti merindui kenangan bersama. Kerana di saat itu, di saat kalian meniti hari tua, tiada apa lagi yang kalian perlukan melainkan perhatian dan kasih sayang dari insan sekeliling. Bukan lagi harta pangkat mahupun keegoan.
Pejam mata kalian, faham dan renungkan ayat ini sebelum kalian berikan jawapan. Siapa kalian? Siapa kalian semua? Tanya diri sendiri siapa kalian sebenarnya? Apa jawapan yang terlintas di fikiran, pengawai? doktor? ahli politik? businesman? jutawan?. Sekiranya itu jawapan kalian maka benarlah kalian begitu jauh dari landasan dan sebab itulah keegoan terlalu tebal dalam diri kalian masing-masing.
Satu saat nanti, di alam yang berbeza, ketika Allah S.W.T bertanya berkali-kali dengan lantangnya siapakah kalian, mampukah kalian menjawab kalian adalah Hamba? Hamba! Ya itulah kalian, kita semua umat manusia. Hamba abdi. hamba yang wajib mengabdikan diri dengan sebenar-benarnya.
Adakah wajar seseorang yang di paggil hamba itu begitu bongkak sifatnya, sombong, ego dan memusuhi hamba yang lain? Begitukah sewajarnya seorang hamba? Suka menghukum, riak mendabik dada dan berbangga diri, sedangkan kalian tahu kalian semua adalah sama, cuma hamba abdi, yang tak layak menghukum, tak layak berbangga diri mahupun menegakkan ego.
Betapa malu nya kalian di sisi Allah S.W.T sekiranya kalian termasuk dalam golongan hamba abdi yang tak sedar diri dan tak tahu malu, yang terpedaya dengan si syaitan. Menangislah sebelum kalian di hinakan. Jangan sesekali mengikuti egonya si syaitan, yang enggan sujud di saat Allah S.W.T perintahkan sujud ketika Nabi Adam tercipta, kerana si syaitan berasa sombong dan lebih baik dari manusia.
Begitu juga memohon maaf, tiada salahnya memulakan maaf kerana maaf itu bukan bermaksud kalian salah, tapi maaf itu kerana kesempurnaan Allah S.W.T, kalian sedar kalian cuma hamba yang penuh kekurangan yang sentiasa berbuat dosa. Terkadang sesuatu berlaku bermula dalam diri sendiri. Belajarlah menyalahkan diri sendiri sebelum kalian mencari kesalahan orang lain.
Ingatlah kalian, satu saat nanti, di alam yang berbeza, kalian akan mengalami keadaan yang sama. Kalian akan berasa gentar yang sama. Kalian akan menggigil membawa diri di alam yang sama. Pasti mengalir air mata melihat keperitan azab di alami, kerana kita hamba yang sama. Peluklah musuh kalian, doakan yang terbaik buat mereka. Sentiasa merendah diri, memaafkan dan memaafi, kerana kita semua sama, bersaudara dan kalian bukanlah sesiapa di sana nanti.